JKM masih kesan waris bayi ‘Ainul Inaayah’

Datuk Seri Nancy Shukri/ RTM

KUCHING, 28 Mei- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih meneruskan usaha mengesan waris kepada bayi dikenali sebagai ‘Ainul Inaayah Abdul Hadi’ yang ditinggalkan di sebuah ‘baby  hatch’ atau peti pelindung bayi di Johor Bahru baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM memperoleh perintah mahkamah untuk penjagaan sementara bayi supaya ditempatkan kepada pihak yang layak sementara usaha mengesan waris diteruskan.
  • Nancy menyatakan ibu yang menyerahkan bayi ke baby hatch masih menunjukkan rasa tanggungjawab.
  • Permohonan mewujudkan pusat perlindungan bayi meningkat; setiap permohonan diteliti dan tidak semua diluluskan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bayi berkenaan ditinggalkan bersama nama yang diberikan, sekali gus menunjukkan masih terdapat unsur tanggungjawab terhadap bayi tersebut.

“Kita tahu bahawa apabila ibunya menyerahkan bayi itu ke ‘baby hatch’, itu bermaksud dia masih ada rasa tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban Peringkat Parlimen Santubong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy berkata JKM telah memperoleh perintah mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap bayi berkenaan.

 ‘Ainul Inaayah Abdul Hadi’

“Kita memperoleh perintah mahkamah untuk membolehkan bayi itu ditempatkan kepada pihak yang layak dan sesuai sementara usaha mengesan waris diteruskan,” katanya.

Menurutnya, permohonan untuk mewujudkan pusat perlindungan bayi atau ‘baby hatch’ semakin meningkat, namun tidak semua diluluskan.

Katanya, setiap permohonan perlu diteliti bagi memastikan pengendali ‘baby hatch’ benar-benar komited dalam aspek kebajikan ibu dan bayi serta menangani isu sosial secara berkesan.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan telah ditinggalkan di ‘sebuah baby hatch’ di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 26 Mac lalu bersama surat tertera nama ‘Ainul Inaayah Abdul Hadi’.

Selain nama, surat berkenaan turut menyertakan maksud nama itu iaitu ‘pembawa cahaya’ serta butiran kelahiran bayi iaitu pada pukul 10.00 pagi 22 Mac lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.