
PUTRAJAYA, 4 Mei– Seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO), Mohd Ridzuan Abdullah, 58 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan memfitnah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
- Pertuduhan memfitnah melalui media sosial pada 13 April kira-kira pukul 1 tengah hari.
- Kenyataan dakwa MAIS guna "imuniti istana" untuk elak selesaikan tunggakan pembayaran kontrak Masjid Al-Madaniah, Subang Jaya.
- Pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan; hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.
- Mahkamah benarkan jamin RM5,000 dengan seorang penjamin; kes disebut semula pada 22 Jun.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebarkan kenyataan berunsur fitnah menerusi media sosial pada 13 April lalu, kira-kira pukul 1.00 tengah hari.
Kenyataan itu didakwa mengaitkan MAIS dengan penggunaan “imuniti istana” bagi mengelak tanggungjawab menyelesaikan tunggakan bayaran kontrak pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang Jaya kepada subkontraktor terlibat.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam bela tertuduh, T. Ravindran, memohon jaminan rendah atas alasan faktor kesihatan serta tanggungan keluarga manakala pihak pendakwaan memaklumkan kes berkenaan melibatkan kepentingan awam kerana menyentuh institusi agama dan pihak istana.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Jun ini.