Hina Sultan Selangor: 280 laporan polis diterima

Laporan polis diterima dari seluruh negara

SHAH ALAM, 4 Mei – Sebanyak 280 laporan polis telah diterima setakat semalam, berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 25 April lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
  • PDRM bekerjasama dengan MCMC untuk mengesan dan menangkap pelaku yang mencemarkan kedaulatan institusi diraja.
  • Orang ramai dinasihatkan menyerahkan proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat ulasan atau spekulasi yang mengganggu kes.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan polis itu diterima dari seluruh negara yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi mengecam tindakan provokasi melampau berkenaan.

Siasatan dijalankan bawah rujukan Bandar Kinrara RPT: 4809/26, dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Fokus utama siasatan yang sedang giat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah untuk mengesan serta menangkap pelaku yang bertanggungjawab dalam mencemar kedaulatan institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai dinasihatkan agar menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan keperluan semasa.