Ketirisan barang kawalan: Enam modus operandi utama dikesan

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 4 April – Enam modus operandi utama yang menyumbang kepada ketirisan barang kawalan termasuk petrol dan diesel berjaya dikenal pasti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelewengan oleh pemegang lesen dan penglibatan pihak ketiga yang tidak menyalurkan bekalan kepada pihak sepatutnya.
  • Pewujudan kluster khusus bagi kawasan sempadan seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak bagi memantau laluan bukan utama.
  • Pemantauan aktiviti bunkering dan pemprosesan semula bahan petroleum di perairan negara.
  • Pengukuhan kawalan dan pemantauan harian merangkumi seluruh rantaian bekalan dari kilang penapisan hingga peringkat peruncitan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan, ini termasuk penyelewengan oleh pemegang lesen barang kawalan berjadual serta penglibatan pihak ketiga yang tidak menyalurkan bekalan kepada pihak sepatutnya.

Dapatan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 11 Mac lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dalam mesyuarat itu juga diputuskan pewujudan kluster khusus bagi kawasan sempadan seperti di Kelantan, Sabah dan Sarawak memandangkan kawasan sempadan yang panjang, bukan hanya melibatkan pintu masuk utama,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat stesen minyak dan pangkalan haram di sempadan Rantau Panjang di sini hari ini.

Jelasnya lagi, aktiviti ‘bunkering’ turut dipantau berikutan wujud salah laku termasuk pemprosesan semula bahan petroleum di perairan negara.

Taktik lain termasuk pemalsuan dokumen melibatkan jumlah pembelian serta penyorokan bekalan sebelum dijual ke pasaran gelap termasuk sektor industri pada harga lebih tinggi.

Bagi menanganinya, kawalan dan pemantauan pengedaran akan diperkukuh melalui penguatkuasaan di lapangan serta pemantauan harian.

Ia merangkumi keseluruhan rantaian bekalan daripada kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan.