
KUALA LUMPUR, 18 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan perwakilan Selangor, Datuk Noorazli Said semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 kepada Pejabat Peguam Negara hari ini untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
- Disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- 86 laporan polis diterima dan 93 saksi telah dirakam percakapan melibatkan pelbagai pihak.
- Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyalahgunakan rangkaian bagi menyebarkan maklumat belum disahkan.
- Kerjasama semua pihak diperlukan untuk memelihara keselamatan ruang digital dan membina budaya komunikasi matang serta saling menghormati.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 86 laporan polis telah diterima dan 93 orang saksi telah dirakam percakapan melibatkan orang awam, pihak penganjur, perwakilan UMNO serta Datuk Noorazli.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyalahgunakan kemudahan mahupun perkhidmatan rangkaian bagi menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Datuk M. Kumar berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat, di samping memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.
Ucapan seorang perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka.