
DUNGUN, 18 September – Polis masih meneruskan siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia empat bulan selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun pada 7 September lalu.
- Bedah siasat selesai tetapi punca sebenar kematian masih memerlukan pengesahan lanjut melalui analisis dan laporan perubatan.
- Polis merakam percakapan, mendapatkan serta meneliti rakaman CCTV dan bukti lain untuk membantu siasatan.
- Tiada kesimpulan awal atau unsur kecuaian sehingga siasatan dan laporan lengkap; orang ramai diminta jangan buat spekulasi.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, walaupun proses bedah siasat selesai, punca sebenar kematian bayi berkenaan masih memerlukan pengesahan lanjut berdasarkan analisis dan laporan perubatan.
“Pihak kami memahami kebimbangan keluarga mangsa dan menghormati hak keluarga bayi bagi mendapatkan penjelasan dan keadilan melalui saluran undang-undang yang ada.
“Beberapa tindakan sewajarnya telah diambil termasuk merakam percakapan pihak berkaitan serta mendapatkan dan meneliti sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Perkara tersebut berbangkit susulan bapa mangsa Mohamad Hazrin Kadir, 31 tahun, tampil membuat laporan di Balai Polis Dungun pada Khamis berhubung kematian anaknya.
Menurut Superintenden Nik Ab Halim, sebarang maklumat tambahan yang dikemukakan oleh keluarga mangsa dan pihak berkaitan juga akan diteliti.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada kesimpulan awal dibuat berhubung punca kematian atau sebarang unsur kecuaian sehingga hasil siasatan dan laporan berkaitan dilengkapkan.
Selain itu, beliau berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan kerana perkara itu boleh menjejaskan siasatan.
Terdahulu, bayi berkenaan Nur Helena Safya, disahkan meninggal dunia selepas dihantar ibunya ke taska berkenaan 7 September lalu, dalam keadaan sihat.