
PUTRAJAYA 18 September – Usaha membanteras rasuah, memperkukuh agenda reformasi serta membersihkan negara daripada sebarang unsur penyelewengan akan terus menjadi komitmen Pakatan Harapan (PH).
- Majlis Presiden PH menegaskan tiada sesiapa mengatasi undang-undang.
- Sesiapa yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman menurut Perlembagaan Persekutuan.
- Kenyataan dikeluarkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri.
- PH berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri dan nasihat Peguam Negara serta Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan).
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH menegaskan, pendirian itu selari dengan prinsip bahawa tiada sesiapa mengatasi undang-undang.
“Sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Majlis Presiden PH turut menyatakan ketegasan untuk berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kepada Lembaga Pengampunan berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat di Kompleks Perdana Putra, di sini, yang berlangsung hampir dua jam, bermula kira-kira 5.30 petang.