
KUANTAN, 18 September – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mencemar duli menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Kerjasama antara Amat Bayu Sendirian Berhad dengan syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membangunkan projek turbin angin di Pekan, Pahang.
- Amat Bayu dan Masdar menandatangani MoU untuk membangunkan projek turbin angin berkapasiti 2.2 MW.
- Projek ini menjadi platform membina kepakaran tempatan dan mengumpul data bagi menyokong tenaga angin berskala besar.
- Masdar membawa pengalaman membuktikan tenaga angin boleh dibangunkan walaupun dalam persekitaran kelajuan angin rendah.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Perjanjian itu ditandatangani bagi pihak Amat Bayu oleh Pengarahnya, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak bersama wakil dari UAE.
Datuk Ahmad Najmi dalam ucapannya berkata, kerjasama itu dilihat sebagai langkah awal meneroka potensi tenaga angin di Malaysia, walaupun dalam persekitaran yang mencabar dengan kelajuan angin yang rendah.
Projek berkenaan mampu menjadi platform penting dalam membangunkan kepakaran tempatan, menjana data serta pengalaman bagi menyokong pembangunan tenaga angin berskala lebih besar di Malaysia.