Proses perlembagaan Negeri Sembilan perlu dipatuhi sepenuhnya – PM

Datuk Seri Anwar / Foto RTM

PUTRAJAYA, 18 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu mengikut sepenuhnya proses perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memakzulkan atau menurunkan Raja bukan perkara kecil dan tidak boleh dipermudahkan.
  • Peraturan dan kaedah mesti dipatuhi sepenuhnya supaya kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak tergugat.
  • Prinsip undang-undang serta adat Negeri Sembilan perlu dihormati dalam urusan institusi Raja.
  • Jabatan Peguam Negara nyatakan proklamasi 19 April 2026 tidak sah kerana gagal patuhi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh 1959.

Beliau berkata perkara membabitkan kedudukan Raja bukan perkara kecil dan tidak boleh dipermudahkan, mengambil kira Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

“Ini soal memakzulkan atau menurunkan Raja bukan perkara yang kecil. Kita dalam negara yang tertegak dengan prinsip perlembagaan serta menjunjung sistem beraja.

“Kalau perkara ini dipermudahkan, ia akan menimbulkan banyak masalah.

“Kita harus tentukan peraturan dipatuhi sepenuhnya, kaedah diikuti, dan yang paling penting bagi kita sekarang ini ialah kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak tergugat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, hari ini bersama kira-kira 1,000 jemaah.

Khutbah Jumaat bertajuk “Bekalan Menuju Hari Akhirat” disampaikan Imam dan Khatib,  Muawwidz Al-Ansori Dzulkefly.

Datuk Seri Anwar turut berkata tidak menolak prinsip undang-undang serta adat yang terpakai di Negeri Sembilan membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang.

Beliau turut berharap kerajaan negeri dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim lebih tegas dalam pendirian serta tidak tunduk kepada tekanan politik.

“Saya berharap kerajaan negeri dan Menteri Besar lebih tuntas dalam pendirian, tidak berdolak-dalik dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik kerana ini soal Raja Berperlembagaan,” ujarnya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara menyatakan proklamasi mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.