
HYDERABAD, 18 Sept – Presiden Maldives Mohamed Muizzu pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas keputusan mempertimbangkan penyediaan kemudahan swap mata wang bernilai US$100 juta dan menzahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala akan bertambah kukuh susulan lawatan negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
- Malaysia bersetuju secara prinsip menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan swap mata wang jangka pendek, dengan terma sedang diperincikan pihak berkuasa monetari.
- Malaysia dan Maldives bersetuju memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Keutamaan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan peluang perniagaan.
- Lawatan rasmi Perdana Menteri membuka lembaran baharu, meletakkan asas kukuh pengembangan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
- Maldives mengalu-alukan pelabur Malaysia dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital, pembinaan, kewangan Islam dan perniagaan halal.
Dalam hantaran di X pada Jumaat, Muizzu turut menyambut baik persetujuan secara prinsip Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA), sambil menyifatkan kedua-dua inisiatif itu sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan serta rakyat kedua-dua negara.
“Satu penghormatan besar dapat menerima kunjungan anda, Perdana Menteri @anwaribrahim yang saya hormati, sempena lawatan negara bersejarah anda ke Maldives.
“Saya amat berterima kasih atas keputusan anda untuk mempertimbangkan penyediaan kemudahan swap mata wang jangka pendek bernilai US$100 juta menerusi bank pusat kedua-dua negara,” katanya.
Pada 15 Sept lepas, Anwar memberitahu media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasminya bahawa Malaysia bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan US$100 juta, yang disifatkannya sebagai satu bentuk pinjaman mudah yang akan dilaksanakan menerusi pihak berkuasa monetari kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarat serta mekanisme bagi kemudahan itu masih diperincikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Maldives Monetary Authority (MMA).
Sementara itu, Muizzu berkata lawatan negara Anwar ke Maldives pada 14 hingga 15 Sept “telah membuka lembaran baharu yang dinamik dalam hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Maldives dan Malaysia”.
“Rundingan rasmi yang membuahkan hasil telah meletakkan asas kukuh untuk masa hadapan, sekali gus menegaskan semula komitmen bersama kami untuk memperluas kerjasama dalam bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, pelancongan dan pembangunan mampan, hal ehwal Islam serta kerjasama pertahanan,” katanya.
Antara perkara lain, Malaysia dan Maldives bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam forum pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Komanwel.
Maldives merupakan antara penerima utama bantuan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Negara kepulauan yang terkenal dengan industri pelancongan dan perikanannya yang pesat itu berminat menarik pelabur Malaysia dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital, pembinaan, kewangan Islam dan perniagaan halal.- BERNAMA