Perlombongan emas haram: 37 orang maut dalam sel tahanan

Foto Reuters

NIGER, 19 September – Seramai 37 orang ditemukan maut dalam sel tahanan di Niger State, Niger dengan sebahagian besar mangsa berusia antara 14 hingga 18 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat ditemui dalam sel NSCDC selepas serbuan lombong emas haram, dengan ramai ditahan semasa operasi.
  • Punca kematian belum diketahui; NSCDC awalnya sebut kemungkinan wabak, siasatan perubatan diperlukan.
  • Insiden itu memicu tunjuk perasaan dan perintah berkurung malam; presiden arah siasatan menyeluruh serta gantung komander NSCDC.

Kesemua mangsa ditemukan ketika operasi membanteras aktiviti perlombongan emas haram dijalankan.

Gabenor Niger State, Mohammed Umaru Bago berkata kesemua remaja yang maut itu dipercayai bekerja secara haram dalam aktiviti perlombongan emas berbanding menghadiri sesi persekolahan.

“Aktiviti melombong emas secara haram ini telah memberi kesan kepada anak-anak kita.

“Kalau dilihat nisbah mangsa maut, remaja tersebut dianggarkan lingkungan usia 14 hingga 18 tahun,” katanya.

Tambah beliau, hasil keuntungan melombong emas secara haram tersebut membuat mangsa remaja terpedaya dalam aktiviti berkenaan.

Kesemua mangsa ditemukan maut pada Khamis dalam sel tahanan Security and Civil Defence Corps (NSCDC) di Minna, ibu negeri Niger State, selepas pasukan keselamatan itu menjalankan serbuan terhadap lombong emas yang disyaki beroperasi secara haram.

Menurut NSCDC, puluhan pelombong ditahan dalam operasi pada 15 dan 16 September di kawasan Wushishi-Lukoto, di barat Minna.

Punca kematian bagaimanapun masih belum diketahui.

NSCDC pada awalnya menyatakan kemungkinan berlaku wabak penyakit, sebelum menjelaskan bahawa punca sebenar hanya dapat ditentukan selepas pemeriksaan perubatan.

Kematian itu mencetuskan tunjuk perasaan ganas di Minna pada Jumaat, apabila penunjuk perasaan merosakkan harta awam dan persendirian termasuk sekolah serta pasar.

Pihak berkuasa kemudian mengenakan perintah berkurung pada waktu malam.

Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu, mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan dan menggantung komander NSCDC Niger State.

Nigeria telah bertahun-tahun berusaha membanteras perlombongan tanpa lesen yang beroperasi di ribuan lokasi tidak rasmi, yang menurut pihak berkuasa turut menjejaskan alam sekitar dan mengurangkan hasil kerajaan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.