
KUALA LUMPUR, 18 September -Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan perwakilan Selangor, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pagi tadi untuk tindakan lanjut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Setakat ini 86 laporan polis diterima dan 93 saksi telah dirakam percakapan termasuk perwakilan, penganjur dan orang awam.
- Kontroversi tercetus apabila Datuk Noorazli didakwa menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka dalam ucapannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya kini menunggu keputusan AGC selepas kertas siasatan dikemukakan.
“Pagi tadi pukul 9.00 pagi telah ditaklimatkan kepada Pejabat Peguam Negara. Buat masa ini,kertas siasatan dalam kajian kita akan menunggu arahan dan nasihat selanjutnya”, beliau kepada pemberita di Bukit Aman, petang tadi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 86 laporan polis diterima, manakala 93 saksi telah dirakam percakapan, terdiri daripada orang awam, pihak penganjur, perwakilan UMNO serta Datuk Noorazli.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh mengganggu proses siasatan.
Kontroversi berhubung ucapan Datuk Noorazli tercetus ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 apabila beliau didakwa menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka dalam ucapannya.
PDRM sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan selepas menerima laporan berhubung isu berkenaan, dengan percakapan pelbagai pihak dirakam bagi membantu melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.