Pengampunan DiRaja terbuka, namun tertakluk prosedur ditetapkan – Pakar Perlembagaan

Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 September – Setiap individu yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah mempunyai ruang untuk mengemukakan petisyen pengampunan DiRaja, tertakluk kepada prosedur dan tempoh ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuasa pengampunan bagi Wilayah Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong selari Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
  • Di negeri lain, kuasa pengampunan dipegang oleh Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.
  • Permohonan melalui Lembaga Pengampunan yang mempertimbang, mengambil kira pendapat Peguam Negara dan diketuai Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan, kuasa memberi ampun terletak pada Yang di-Pertuan Agong selari Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal satu menyatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda hukuman atau melegakan hukuman bagi individu yang telah didapati bersalah oleh mahkamah bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada RTM.

Bagi kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain pula, kuasa pengampunan terletak pada Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Jelas Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu lagi, permohonan pengampunan akan melalui Lembaga Pengampunan yang berperanan mempertimbang permohonan sebelum mengemukakan nasihat termasuk mengambil kira pendapat Peguam Negara.

Bagi Wilayah Persekutuan, lembaga itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta sehingga tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, seseorang banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan selepas disabitkan, manakala permohonan berikutnya tertakluk kepada tempoh yang ditetapkan.

Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu menyifatkan mekanisme itu memberi ruang kepada individu yang telah melalui proses kehakiman untuk memohon pertimbangan pengampunan menerusi saluran yang diperuntukkan undang-undang.

“Jadi undang-undang ini memberikan ruang kepada semua orang, tanpa mengira keturunan atau latar belakang. Semua orang boleh memohon.

“Semua orang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah boleh memohon dengan syarat mengikuti masa-masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.