Delegasi WFGT kunjungi Kuantan 188, perkasa promosi pelancongan Kuantan

Foto Facebook Kuantan 188

KUANTAN, 18 September – Seramai 18 wakil delegasi World Federation of Great Towers (WFGT) termasuk dari Barcelona, Mexico dan Chicago, buat julung kali berkunjung ke bandaraya Kuantan khususnya Kuantan 188.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuantan 188 sebagai ahli WFGT membuka peluang jaringan kerjasama teknologi, ilmu, promosi dan latihan antaramenara.
  • Kuantan 188 mengetengahkan konsep keaslian bandar untuk pengalaman menyeluruh bukan sekadar lawatan menara.
  • Kunjungan delegasi dimanfaatkan promosi Kuantan sebagai destinasi pelancongan kepada pemimpin pengurusan menara terkenal dunia.
  • Program termasuk pemandangan malam dari dek terbuka, persembahan tarian, silat, nyanyian, aktiviti bersama gajah dan lawatan kraf diraja.

Kunjungan itu menjadi platform penting dalam memperkenalkan keistimewaan serta keunikan mercu tanda ikonik bandaraya bekenaaan.

Menurut Pengarah Kumpulan Perniagaan Pembangunan Trinidad Hospitality Shd Bhd, Datuk Zulkifli Mohamed, WFGT terdiri daripada 55 menara terkenal di seluruh dunia termasuk Kuantan 188.

“Jadi, kekuatan Kuantan 188 sebagai salah satu ahli WFGT membolehkan kita menjalinkan jaringan dan kerjasama dengan menara lain termasuk aspek teknologi, ilmu pengetahuan, promosi, latihan dan sebagainya.

“Justeru, disebabkan itu WFGT penting bagi kita. Kali ini, mereka datang ke Kuantan buat pertama kalinya,” katanya.

Selain itu, Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman berkata Kuantan 188 mengetengahkan konsep keaslian bandar sebagai daya tarikan.

“Kita cuba tonjolkan menerusi Menara Kuantan 199 ialah konsep keaslian bandar. Kita pamerkan kepada delegasi segala elemen tempatan supaya mereka dapat menikmati pengalaman yang menyeluruh, bukan sekadar datang melawat menara semata-mata,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata kunjungan delegasi WFGT ke Kuantan sebagai peluang untuk mempromosikan bandaraya itu sebagai destinasi pelancongan.

“Ini peluang khususnya bandar kuantan untuk mempromosikan kuantan sebagai salah satu destinasi pelancongan kerana delegasi merupakan ketua-ketua pentadbir atau eksekutif yang mentadbir menara-menara yang terkenal di seluruh dunia,” jelasnya.

Pada sesi kunjungan itu, wakil delegasi dibawa melihat keindahan pemandangan bandaraya Kuantan pada waktu malam dari dek terbuka menara Kuantan 188.

Anggota delegasi turut dipersembahkan dengan tarian, silat dan nyanyian lagu kebudayaan tempatan.

Sebelum itu, delegasi dibawa melakukan aktiviti bersama gajah di Kuala Gandah, Temerloh.

Selain itu, wakil delegasi dijadual dibawa ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah pada esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.