Trump larang tiga organisasi media dari White House

Foto AFP

NEW YORK, 19 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengumumkan larangan terhadap tiga organisasi media dari White House iaitu CNN, MS NOW dan Politico yang berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mendakwa media melaporkan 'fiksyen dan pembohongan' serta memberi amaran media lain mungkin menghadapi larangan.
  • Beliau tidak menyatakan contoh khusus mengenai laporan yang didakwanya palsu.
  • Beliau kata White House berhak menghalang media jika menulis berita palsu berterusan, berdasarkan laporan negatif dua tahun.
  • Ketua Reporters Committee Bruce Brown kata tindakan itu tidak berperlembagaan, diskriminasi pandangan dan mungkin dibatalkan mahkamah.

Trump mendakwa larangan itu dibuat kerana ketiga-tiga organisasi media berkenaan melaporkan ‘fiksyen dan pembohongan’.

Beliau turut memberi amaran bahawa media lain turut berdepan larangan sama sekiranya mengamalkan ‘Fake News Media Outlets’.

“Saya dengan bangga mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, saya melarang Fake News CNN, MSNOW dan Politico dari White House,” katanya menerusi platform Truth Social.

Trump bagaimanapun tidak menyatakan contoh khusus mengenai laporan berita yang didakwanya palsu.

Beliau sebaliknya berkata, organisasi media tidak sepatutnya ‘sentiasa menulis atau melaporkan fiksyen dan pembohongan’ ketika membuat liputan mengenai Presiden, pentadbiran atau AS.

Bercakap di Pejabat Oval dalam program berlainan, Trump menegaskan White House mempunyai hak untuk menghalang media tertentu jika didapati ‘menulis berita palsu sepanjang masa’.

Malah katanya, larangan tersebut dikuat kuasakan berdasarkan himpunan laporan negatif sejak dua tahun lalu, serta menuduh media terbabit dalam cubaan melemahkan Parti Republikan dan pentadbirannya.

Dalam pada itu, wartawan Politico dan CNN kekal berada di bilik taklimat media White House selepas pengumuman larangan itu.

Sementara itu, Presiden Reporters Committee for Freedom of the Press, Bruce Brown berkata tindakan larangan itu jelas tidak berperlembagaan.

“Pindaan Pertama jelas bahawa apabila White House menjemput sebahagian wartawan, ia tidak boleh melarang wartawan lain hanya kerana tidak menyukai laporan mereka,” jelasnya.

Brown berkata, tindakan larangan itu merupakan diskriminasi berdasarkan pandangan dan kemungkinan akan dibatalkan mahkamah sekiranya di cabar.

Pada penggal pertama sebagai Presiden, Trump pernah melarang seorang wartawan CNN daripada menghadiri acara di White House.

Pada penggal kedua, Trump turut mengetatkan kawalan terhadap akses wartawan termasuk menentukan organisasi media dibenarkan membuat liputan.

Tahun lalu, beliau juga pernah menyekat The Associated Press daripada menghadiri beberapa acara selepas agensi berita itu terus menggunakan istilah ‘Gulf of Mexico’, bukannya ‘Gulf of America’ seperti yang diarahkan beliau.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.