
SHAH ALAM, 12 Mei – Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM200,000 kepada seorang peniaga selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menjual barangan menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.
- Kesalahan dikesan hasil pelaksanaan Kempen Kita Gempur di premis Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
- Tertuduh menjalankan penjualan pakaian, selipar, topi dan aksesori tiruan.
- Mahkamah memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal bayar denda; kes dibawa bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, kesalahan itu dikesan hasil pelaksanaan Kempen Kita Gempur yang dilakukan agensi itu ke atas sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat
Tertuduh merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an menjalankan aktiviti penjualan pakaian, selipar, topi dan aksesori tiruan.
“Nilai denda tersebut merupakan antara yang tertinggi direkodkan bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026.
“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Kes didakwa bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama.
KPDN Selangor menegaskan pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan yang menjejaskan hak harta intelek serta ekonomi negara.
Dalam pada itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku perdagangan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000 atau portal e-aduan KPDN.