
BALING, 12 Mei – Seorang penoreh getah berdepan detik mencemaskan apabila terserempak seekor ular sawa, tengah hari tadi.
- Anggota APM bertindak pantas menangkap ular sawa tanpa mencederakan orang awam atau anggota.
- APM Daerah Baling merekodkan 280 kes tangkapan ular sejak Januari, melibatkan kawasan perumahan, kebun dan premis awam.
- Orang ramai dinasihatkan jangan menghampiri atau cuba menangkap haiwan liar; hubungi pihak berkuasa segera.
Ular sawa sepanjang lebih lima meter dan seberat kira-kira 80 kilogram itu ditemui di kawasan kebun getah di Kampung Ketemba Luar, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Lt. (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 12 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan anggota diketuai SM (PA) Norfakarurazi bersama tiga anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut.
Beliau berkata, ular sawa berkenaan berjaya ditangkap dalam operasi yang dijalankan secara pantas tanpa melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam atau anggota bertugas.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari dan ular tersebut dipindahkan dari kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Sejak Januari lalu, APM Daerah Baling merekodkan 280 kes tangkapan ular pelbagai spesies di daerah itu.
Tangkapan dilakukan di pelbagai lokasi termasuk kawasan kawasan perumahan, kebun dan premis awam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan liar itu sekiranya ditemui, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.