Dua lelaki Bangladesh didakwa seleweng gas LPG subsidi

Kenyataan media KPDN

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Dua lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas pertuduhan terbabit dalam urus niaga tidak sah melibatkan gas petroleum cecair (LPG) subsidi di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Meru, Kapar, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendakwaan dikendalikan Unit Pendakwaan, Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu.
  • Tertuduh didakwa menyimpan 1,786 kilogram LPG terkawal tanpa kebenaran Pengawal Bekalan di premis.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
  • Hukuman boleh sampai denda RM1 juta atau tiga tahun penjara, meningkat bagi kes berikutnya; prosiding ditangguh, OKS ditahan, perlukan jurubahasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN Selangor), Mohd Hanizam Kechek berkata pendakwaan dijalankan Unit Pendakwaan, Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu.

Menurut beliau, kedua-dua tertuduh berusia lingkungan bawah 40 tahun itu didakwa bersama-sama menyebabkan penyimpanan barang kawalan berjadual iaitu LPG seberat 1,786 kilogram di sebuah premis tanpa kebenaran Pengawal Bekalan pada Selasa lalu, kira-kira pukul 7.30 malam.

“Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesalahan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Selangor, Khairul Affandi Md Jani di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar di Mahkamah Sesyen Klang.

Prosiding sebutan pertuduhan bagaimanapun ditangguhkan ke satu tarikh lain selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) memerlukan khidmat jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua OKS ditahan sementara di penjara sehingga sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.