Bot Vietnam guna nombor palsu, kibar bendera Malaysia ditahan

Foto RTM

PASIR PUTEH, 22 April – Taktik bot nelayan Vietnam menggunakan nombor pendaftaran palsu serta mengibarkan bendera Malaysia dan Terengganu terbongkar apabila 13 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di perairan negara, Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan Op Damai, Op Naga dan Op Pelantar Merah kira-kira 3.30 petang.
  • Bot cuba melarikan diri, bertindak agresif dan membuang tali, pukat serta tong ke laut.
  • Rampasan 500 kilogram hasil laut; nilai keseluruhan dianggarkan RM1.2 juta, kes disiasat mengikut Akta Perikanan dan Akta Imigresen.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan Op Damai, Op Naga dan Op Pelantar Merah kira-kira 3.30 petang.

Katanya, bot terbabit cuba melarikan diri selain bertindak agresif dengan membuang peralatan seperti tali, pukat dan tong ke laut serta enggan memberi kerjasama walaupun diarahkan berhenti.

Bot berkenaan bagaimanapun berjaya dipintas kira-kira 125 batu nautika dari Muara Tok Bali.

Hasil pemeriksaan mendapati 13 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 19 hingga 60 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita anggap ini sebagai penyamaran kerana nombor pendaftaran digunakan tidak mengikut kebiasaan selain dicat warna merah, berbeza dengan nombor asal yang lazimnya berwarna putih.

“Malah, bot itu turut mengibarkan bendera Malaysia dan Terengganu bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali, hari ini.

Menurutnya, bot terbabit dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram tanpa kebenaran di perairan negara.

Turut dirampas hasil tangkapan laut seberat 500 kilogram dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan RM1.2 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.