MBAS keluarkan 50 kompaun terhadap pengusaha cuci kereta tanpa lesen

FOTO RTM

ALOR SETAR, 22 April – Tindakan segelintir pengusaha pusat cuci kereta yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah membawa padah apabila premis mereka diserbu dalam satu Operasi Bersepadu oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBAS mengeluarkan 37 kompaun di bawah UUK 3(1) Pelesenan Tred kerana tiada lesen perniagaan.
  • 13 kompaun dikeluarkan bagi mempamerkan iklan tanpa lesen dan satu notis arahan pematuhan.
  • MBAS akan menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan pematuhan UUK Pelesenan dan UUK Iklan 2010; pemilik perniagaan dinasihat mematuhi.

Dalam operasi yang dijalankan di sekitar daerah Kota Setar dan Pokok Sena itu, pihak berkuasa mengesan majoriti kesalahan melibatkan kegagalan memiliki lesen perniagaan dengan sebanyak 37 kompaun dikeluarkan.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, selain lesen perniagaan, pihak MBAS turut mengeluarkan 13 kompaun bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen serta satu notis arahan pematuhan peraturan.

Pemeriksaan bertujuan mengawal selia aktiviti perniagaan di bawah pentadbiran MBAS agar sentiasa selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta UUK Iklan 2010.

Menurut Abdul Gafar, 37 kompaun tersebut dikeluarkan di bawah UUK 3 (1) Pelesenan Tred manakala 13 lagi di bawah UUK 3(1) Iklan.

Tegas beliau, MBAS akan terus menjalankan pemeriksaan berkala secara berjadual dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pemilik premis.

Beliau turut menasihati semua pemilik perniagaan di bawah seliaan MBAS supaya sentiasa mematuhi peraturan sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan kompaun atau tindakan undang-undang yang lebih tegas pada masa hadapan.