
KUALA NERUS, 22 April – Seramai 20 pemilik rumah di Taman Bukit Berangan, Kuala Nerus panik apabila belukar berhampiran kediaman terbakar, dengan api marak pantas akibat cuaca panas dan kering.
- Api merebak pantas sehingga 200 meter akibat angin kuat, meningkatkan risiko kepada kawasan sekitar.
- Kebakaran memasuki fasa tiga dan melibatkan kebakaran gambut kira-kira 1.5 hektar menghasilkan asap tebal susah dipadam.
- Operasi tertumpu dekat perumahan dan lokasi awam; kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam empat jam dengan bantuan bomba dan jiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata, api merebak dengan cepat sehingga 200 meter akibat angin kuat.
“Kebakaran terbuka ini memasuki fasa ketiga apabila merebak ke kawasan hutan tebal dan melibatkan kebakaran gambut seluas kira-kira 1.5 hektar.
“Operasi di kawasan gambut mengambil masa lebih panjang dan berpotensi menghasilkan asap tebal,” katanya.
Kejadian itu turut menyebabkan jerebu tebal sekali gus menjejaskan kualiti udara, khususnya kepada golongan rentan.
Operasi pemadaman tertumpu di kawasan berhampiran perumahan, institusi pengajian tinggi dan lokasi tumpuan awam termasuk kawasan pantai.
Jarak kebakaran yang hanya kira-kira 10 meter dari rumah penduduk turut meningkatkan risiko merebak ke kediaman.
Seorang penduduk, Rozita Alias berkata, beliau amat bimbang kerana kejadian itu berlaku buat kali pertama.
“Cuaca panas tanpa hujan menyebabkan kami risau untuk meninggalkan rumah. Asap tebal juga menjejaskan kesihatan anak-anak,” menurutnya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Safwan Amir Saidi memaklumkan, beliau cemas sebaik menerima maklumat melalui kumpulan WhatsApp ketika sedang bekerja.
“Memang risau sebab kebakaran dekat dengan kawasan perumahan, namun lega apabila api berjaya dikawal,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh empat jam dengan bantuan anggota bomba dan jiran.