
KANGAR, 16 Jun – Lebih 1,500 usahawan di Perlis menerima manfaat daripada pelbagai kemudahan dan pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sepanjang tahun 2025, dengan golongan wanita mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 54 peratus.
- MARA Perlis menyalurkan lebih RM18 juta untuk pembiayaan, latihan dan program pembangunan usahawan.
- Peruntukan keseluruhan melebihi RM60 juta (2023-2025) dilaksanakan untuk pembiayaan, geran dan peningkatan kompetensi usahawan.
- Program WiSE 2026 memperkasa usahawan wanita, memperluas rangkaian, meningkatkan kemahiran dan membuka peluang pembiayaan.
Bagi tempoh tersebut, MARA Negeri Perlis menyalurkan peruntukan keusahawanan melebihi RM18 juta melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan perniagaan, latihan serta program pembangunan usahawan.
Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan peranan signifikan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi komuniti di negeri ini.
“Kami di MARA Perlis sentiasa komited membantu usahawan wanita, bukan sahaja menyediakan kemudahan, malah berusaha melonjakkan potensi serta memartabatkan peranan mereka dalam bidang keusahawanan, khususnya menerusi penganjuran program WiSE 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Women in Search of Excellence (WiSE) 2026 bertemakan *“Elevating Women, Empowering Communities”* di Dewan Bakawali, Mes Pegawai PDRM, di sini.
Menurutnya, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, MARA Negeri Perlis menerima peruntukan keseluruhan melebihi RM60 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan merangkumi pembiayaan, geran perniagaan serta peningkatan kompetensi.
Program WiSE 2026 yang menghimpunkan 350 usahawan wanita dari seluruh negeri ini turut mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan pada tahun 2023.
Inisiatif tersebut menjadi platform strategik dalam memperkasa wanita melalui keusahawanan, selain membuka peluang jaringan perniagaan serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta.
Seorang usahawan, Norhayati Hashim berkata, program WiSE membantu meningkatkan keupayaan usahawan wanita ke tahap lebih tinggi melalui bimbingan berterusan.
“Kami merakamkan penghargaan kepada MARA atas komitmen melaksanakan program ini yang bukan sahaja membantu usahawan wanita, malah membuka peluang untuk mereka berkembang dengan lebih berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi usahawan, Normahira Ahmad menyifatkan sokongan MARA sebagai pemangkin kejayaan usahawan wanita.
“MARA banyak membantu usahawan wanita melalui pelbagai kursus, geran dan kemudahan yang disediakan, sekali gus membolehkan kami memperkukuh perniagaan,” katanya.
Bagi Agustina Syamsuddin pula, program tersebut memberi peluang kepada usahawan wanita untuk meningkatkan kemahiran dan memperluas jaringan perniagaan.
Rata-rata usahawan yang ditemui menyifatkan program anjuran MARA itu sebagai pemangkin kepada perkembangan perniagaan mereka, khususnya dari aspek bimbingan, akses pembiayaan serta peluang peningkatan ke tahap lebih tinggi.
Majlis penutup program dijadual disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, malam ini.