
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa hari ini, dengan pelancaran Tribunal bagi Antibuli yang menyediakan saluran khas aduan dalam talian bagi mempercepat pengendalian kes.
- Tribunal diwujudkan di bawah Seksyen 25 sebagai agensi khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes buli secara komprehensif dan berkesan.
- Sekolah bertanggungjawab menyelesaikan kes buli terlebih dahulu; tribunal menjadi saluran rayuan jika penyelesaian gagal atau tidak memuaskan.
- Tribunal berpaksikan pendekatan perundangan restoratif yang menumpu perlindungan mangsa serta proses lebih pantas dan kos efektif.
- Seramai 56 anggota pakar perundangan dan pakar kanak-kanak dilantik; tribunal laksanakan program advokasi untuk tingkatkan kesedaran hak mangsa.
Tribunal berkenaan dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, di sini.
Pelancarannya disifatkan sebagai mercu tanda penting dalam komitmen Kerajaan MADANI membanteras gejala buli yang semakin membimbangkan termasuk buli lisan, fizikal, sosial dan siber.
Menurut Datuk Seri Azalina, tribunal yang diwujudkan bawah Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 itu bertindak sebagai agensi khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas dan berkesan.
“Dengan adanya kemudahan permohonan aduan secara dalam talian serta penyediaan bilik perbicaraan tribunal secara fizikal, ia dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan anak-anak bahawa isu buli merupakan perkara serius yang boleh dikenakan tindakan melalui saluran tersebut.
“Mereka tidak boleh menganggap perbuatan buli sebagai sesuatu yang remeh. Jika kes buli berlaku di peringkat sekolah, pihak sekolah perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, sekiranya isu itu gagal diselesaikan atau terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan penyelesaiannya, mereka boleh membawa perkara tersebut ke tribunal. Itulah sebenarnya tujuan utama penubuhan mekanisme ini,” katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM Datuk Zamri Misman, Presiden Tribunal bagi Antibuli, Nurul Husna Awang serta barisan pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.
Jelas Datuk Seri Azalina, pengoperasian tribunal itu berpaksikan pendekatan perundangan restoratif yang memberi tumpuan kepada perlindungan mangsa selain menawarkan proses yang lebih pantas dan kos efektif berbanding saluran perundangan konvensional.
Serentak dengan itu, Peraturan-Peraturan Antibuli (Tribunal bagi Antibuli) 2026 turut dikuatkuasakan hari ini bagi memperincikan prosedur dan tatacara prosiding tribunal.
Bagi memastikan akses kepada keadilan lebih mudah dan saksama, orang ramai boleh mengemukakan aduan menerusi portal awam yang dibangunkan khusus untuk tribunal berkenaan.
Selain itu, seramai 56 anggota tribunal terdiri daripada pakar perundangan dan pakar bidang kanak-kanak telah dilantik bagi mengendalikan setiap prosiding dan penghakiman secara bebas serta profesional.
Tribunal bagi Antibuli akan turut melaksanakan program advokasi bersama Akademi Perundangan Negara dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak mangsa serta memperkukuh usaha melahirkan #GenerasiTanpaBuli.
Buat permulaan, Akta Antibuli 2026 terpakai kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah, namun kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop pelaksanaannya pada masa hadapan.