Cuba curi 43 meter kabel KTMB, seorang lelaki ditahan

Foto ihsan FB KTM Berhad

TAIPING, 16 Jun – Cubaan mencuri 43 meter kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) gagal apabila seorang lelaki ditahan di KM95.75, sektor Padang Rengas–Kamunting awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penemuan dan rampasan kabel dipercayai milik Jabatan Semboyan KTMB di lokasi rondaan.
  • Insiden menyebabkan gangguan kepada sistem semboyan serta operasi landasan akibat kabel dipotong.
  • Suspek diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
  • KTMB akan mempertingkatkan rondaan keselamatan bersama pihak berkuasa; orang ramai diminta melaporkan maklumat mencurigakan.

Menurut kenyataan KTMB, suspek ditahan ketika Polis Bantuan Cawangan Taiping sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas kerap berlaku kecurian kabel.

“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan dan rampasan kabel yang dipercayai milik Jabatan Semboyan KTMB.

Siasatan awal mendapati kejadian itu menyebabkan gangguan kepada sistem semboyan serta operasi landasan di kawasan berkenaan, dengan kira-kira 43 meter kabel telah dipotong,” kata kenyataan tersebut.

Kecurian tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian material, malah berpotensi menjejaskan keselamatan operasi tren dan kelancaran perkhidmatan rel.

Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Pihak KTMB memandang serius insiden vandalisme dan kecurian aset serta infrastruktur rel negara serta akan mempertingkatkan rondaan keselamatan bersama pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau menghubungi pihak PDRM untuk tindakan segera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.