
SIBU, 16 Jun – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta sedan dan kenderaan pacuan empat roda di Bulatan Pulau Dudong, KM26 Jalan Sibu-Kanowit di sini pagi tadi.
- JBPM Sarawak terima panggilan kecemasan jam 8.32 pagi; BBP Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.
- Bomba mendapati tiga mangsa, seorang tersepit; operasi menyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
- Mangsa tersepit disahkan meninggal di lokasi oleh petugas KKM; dua lagi diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital; punca dalam siasatan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.32 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati tiga mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut dengan seorang daripadanya tersepit di dalam kenderaan.
Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut kenyataan itu.
Dua lagi mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.