
TOKYO, 16 Jun – Bank Pusat Jepun (BoJ) bertindak menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi dalam tempoh 31 tahun pada Selasa dalam usaha mengekang rantaian inflasi susulan kesan perang di Asia Barat, meskipun pihak Amerika Syarikat (AS) dan Iran baharu sahaja mengumumkan perjanjian damai.
- BoJ menaikkan kadar penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 1.0 peratus.
- BoJ beri amaran limpahan kos minyak di B2B boleh merebak kepada harga pengguna, risiko CPI melebihi dua peratus.
- Jepun bergantung hampir 90 peratus pada Asia Barat; kerajaan belanja 11.7 trilion yen sokong yen; pasaran lihat yen naik dan Nikkei melonjak.
Bank pusat bagi negara ekonomi keempat terbesar di dunia itu menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 1.0 peratus.
Pelaksanaan itu merekodkan kadar tertinggi sejak tahun 1995 sekaligus menandakan kenaikan pertama sejak Disember lalu.
Keputusan yang sememangnya telah dijangka oleh pasaran ini menyusuli langkah serupa oleh Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank Indonesia pada minggu lalu, selepas konflik serantau tersebut mencetuskan kegawatan ekonomi serta lonjakan harga barang di seluruh dunia.
Melihat kepada situasi semasa, pasaran kini menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) bakal mengambil pendekatan yang sama ekoran kadar inflasi di AS yang kini mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
“Walaupun harga minyak mentah yang lebih tinggi memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi, struktur ekonomi negara secara amnya masih disokong oleh faktor keuntungan korporat yang kukuh serta prestasi pasaran buruh dan pendapatan yang bertambah baik,” jelas kenyataan rasmi BoJ.
Setakat ini, Indeks Harga Pengguna (CPI) Jepun masih berada di bawah paras dua peratus, dibantu oleh pemberian subsidi tenaga oleh pihak kerajaan.
Bagaimanapun, BoJ memberi amaran bahawa limpahan kos akibat kenaikan harga minyak mentah sebelum ini berlaku pada kadar yang agak pantas dalam transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B), yang mungkin bakal merebak kepada kenaikan harga barangan pengguna secara menyeluruh.
“Mengambil kira jangkaan inflasi bagi tempoh sederhana dan panjang yang terus meningkat, wujud risiko kadar inflasi CPI asas akan menyimpang dan melonjak melebihi sasaran kestabilan harga yang ditetapkan iaitu dua peratus,” tambah bank pusat itu lagi.
Meskipun AS dan Iran telah bersetuju untuk menamatkan perang tiga bulan mereka di semua barisan hadapan serta membuka semula Selat Hormuz, aliran perdagangan global dijangka mengambil masa yang lama untuk kembali ke paras sebelum konflik.
Jepun bergantung hampir 90 peratus kepada Asia Barat bagi bekalan minyak mentahnya sebelum perang meletus pada 28 Februari lalu.
Masalah ekonomi Jepun sebelum ini turut diburukkan lagi oleh kejatuhan nilai mata wang yen yang berlarutan pada paras sekitar 160 yen berbanding dolar AS.
Situasi itu memaksa kerajaan Jepun membelanjakan sekitar 11.7 trilion yen (AS$72 bilion) bulan lalu bagi menyokong mata wang tersebut.
Sejurus pengumuman kenaikan kadar faedah itu dibuat, nilai yen dilapor melonjak seketika berbanding dolar, manakala indeks saham Nikkei 225 pula melonjak melepasi paras 70,000 mata buat kali pertama dalam sejarah.- AFP