Pemilik syarikat direman, 133 akaun persendirian, syarikat dibekukan

SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat berjumlah kira-kira RM160 juta berhubung sindiket isytihar palsu barang import. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 April – Pemilik syarikat ditahan reman lima hari bermula hari ini hingga bagi membantu siasatan berhubung sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket isytihar palsu barang import menggunakan Trade Based Money Laundering, melibatkan runner, ejen penghantaran dan orang tengah sejak 2020.
  • Operasi bersepadu Op Celio oleh SPRM dan MATF dilaksanakan di 14 lokasi membabitkan syarikat dan kediaman sekitar Lembah Klang.
  • SPRM membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat bernilai kira-kira RM160 juta.
  • Kegiatan itu menyebabkan kerugian hasil duti kastam sekitar RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Majistret Ezrene Zakaria mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selepas meneliti permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam dalam operasi yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di sekitar Lembah Klang.

Lelaki itu disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan sejak tahun 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat serta sebagai ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

Suspek juga dipercayai salah seorang ahli sindiket penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering.

SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan operasi bersepadu ‘Op Celio’ di 14 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.

Operasi itu menyasarkan 28 entiti terdiri daripada syarikat dan individu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki mengemukakan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia bagi mengelak atau mengurangkan duti import.

SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat berjumlah kira-kira RM160 juta.

Kegiatan itu telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata kes disiasat bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001).

Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan dengan menyasarkan 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.