
PASIR MAS, 19 Ogos – Cubaan menyeludup hampir 1.96 juta batang rokok berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menerusi dua kes di Bachok, dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk duti, cukai dan kenderaan berjumlah RM2.09 juta.
- Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang jalankan Operasi Asap Cino di Kampung Pauh 9, Tawang pada 17 Julai.
- Sebuah lori tidak berkunci dikesan; guni sabut kelapa menyembunyikan 74 kotak berisi lebih 1.7 juta batang rokok pelbagai jenama.
- Tindakan susulan temui pacuan empat roda muat 253,600 batang; sindiket dipercayai guna laluan sungai untuk pindah dan edar; kes disiasat Seksyen 135(1)(e).
Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, rampasan dibuat Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang menerusi Operasi Asap Cino di Kampung Pauh 9, Tawang pada 17 Julai lalu.
Dalam kes pertama, sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci dikesan kira-kira 10.30 malam hasil maklumat risikan.
“Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan guni-guni putih berisi sabut kelapa yang digunakan untuk menyembunyikan kotak-kotak berisi rokok pelbagai jenama yang disyaki rokok seludup.
“Kita tengok jenama ini pun jarang ditemui. Mungkin ada permintaan dan ada kemungkinan bukan penduduk tempatan yang menghisapnya,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan lebih 1.7 juta batang rokok pelbagai jenama yang disimpan dalam 74 kotak.
Rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM490,200 dengan duti dan cukai kira-kira RM1,194,102, manakala lori bernilai RM150,000 turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan bagi kes pertama RM1,834,302.
Bagi kes kedua, tindakan susulan di lokasi sama menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memuatkan 253,600 batang rokok putih pelbagai jenama.
Rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM65,720 dengan duti dan cukai kira-kira RM178,027.20, manakala kenderaan itu bernilai RM15,000, menjadikan nilai keseluruhan sitaan bagi kes kedua RM258,747.20.
Siasatan mendapati sindiket dipercayai menggunakan laluan sungai untuk membawa masuk rokok berkenaan sebelum dipindahkan ke kenderaan bagi tujuan pengedaran ke pasaran di luar Kelantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.