Polis Selangor rampas lebih 600 kg dadah bernilai RM37.5 juta

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap dalam sidang media di Shah Alam – Foto RTM

SHAH ALAM, 19 Ogos – Cubaan sindiket dadah menjadikan kediaman di Ampang dan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) sebagai ‘depot bergerak’ terbongkar apabila polis Selangor merampas lebih 600 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dalam beberapa siri serbuan bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi antara 4 hingga 17 Ogos itu berjaya menumpaskan enam kegiatan pengedaran dadah secara berasingan di sekitar Lembah Klang dan Terminal KLIA, Sepang.

“Keenam-enam siri tangkapan ini telah membawa kepada rampasan bunga ganja sebanyak 96.15 kg, syabu sebanyak 408.63 kg, heroin base sebanyak 87.98 kg dan kokain sebanyak 7.72 kg, dengan nilai keseluruhan anggaran sekitar RM37.5 juta,” katanya dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, di sini.

Menurut Datuk Shazeli, operasi bersepadu itu dijalankan JSJN Selangor bersama JSJN Bukit Aman, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA serta polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Seramai 12 individu, terdiri daripada tiga warga tempatan dan sembilan warga asing berusia 22 hingga 54 tahun, ditahan dalam enam kes berkenaan.

Dalam kes pertama pada 4 Ogos, polis menahan enam individu di sebuah premis kediaman di Ampang dan merampas 155 kg syabu bernilai RM7.8 juta. Sebuah pacuan empat roda dan wang tunai RM2,000 turut disita.

Di KLIA, empat operasi dijalankan pada 10 dan 15 Ogos, menyaksikan rampasan keseluruhan 96.15 kg bunga ganja dan 7.7 kg kokain.

Pada 10 Ogos, seorang wanita warga asing ditahan selepas 20.8 kg bunga ganja bernilai RM1.66 juta ditemukan dalam bagasinya.

Pada 15 Ogos pula, dua bagasi milik seorang wanita warga asing mengandungi 34 kg bunga ganja bernilai RM2.73 juta, manakala seorang lelaki warga asing ditahan AKPS selepas bagasinya mengandungi 7.7 kg kokain bernilai RM1.5 juta.

Satu lagi kes pada hari sama menyaksikan seorang lelaki warga asing ditahan selepas dua bagasinya mengandungi 41.2 kg bunga ganja bernilai RM3.3 juta.

Kesemua suspek dalam kes KLIA didapati negatif ujian saringan awal air kencing dan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes terbesar berlaku pada 17 Ogos di Ampang apabila dua warga tempatan ditahan dan polis merampas 252.7 kg syabu serta 88 kg heroin base, bernilai keseluruhan RM19.7 juta.

Polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM704.

Datuk Shazeli berkata, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga dua juta individu.

“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan bahawa masih wujud lagi sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif dan terancang serta memberi ancaman serius kepada masyarakat,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya kerana boleh terperangkap sebagai ‘keldai dadah’ dan berdepan tindakan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.