
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Identiti tiga beranak yang maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, dekat ibu negara, awal pagi Rabu, telah dikenal pasti.
- Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi.
- Pemandu lori (43) dan pemandu kereta (50) direman sehari bagi membantu siasatan polis.
- Jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampar, Perak selepas bedah siasat untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam.
Mangsa ialah pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlim, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Manakala, isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, mengesahkan keluarga berkenaan berasal dari Kampar, Perak.
Seorang lagi anak pasangan itu, Siti Nor Shakira, 28, tidak terlibat dalam kejadian itu kerana tidak mengikuti keluarganya yang dipercayai sedang bercuti di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ACP Mohd Zamzuri memaklumkan, pemandu lori berusia 43 tahun dan pemandu kereta berusia 50 tahun, masing-masing direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tinjauan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) kira-kira pukul 1.00 tengah hari mendapati suasana hiba menyelubungi kawasan berkenaan, dengan beberapa ahli keluarga dan kenalan mangsa hadir.
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau, bagi bertemu dan menyantuni keluarga mangsa.
Kesemua jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampar, Perak selepas proses bedah siasat selesai untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, dalam satu liang lahad.