Pencapaian Kerajaan MADANI bukti keupayaan PM terajui negara

Foto FB Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pencapaian Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan nilai ringgit mencerminkan keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menerajui negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Politik berpendapat pencapaian menjadi asas memberi peluang Perdana Menteri meneruskan kepimpinan.
  • Kerajaan akan terus berusaha memastikan pencapaian diterjemah kepada manfaat lebih dirasai rakyat.
  • Beberapa pengumuman menjelang Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Belanjawan 2027 dijangka memberi manfaat lebih kepada rakyat.
  • Keputusan mandat kepimpinan pada Pilihan Raya Umum terletak di tangan rakyat dan kerajaan yakin rakyat bijak membuat keputusan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berpandangan bahawa pencapaian berkenaan menjadi asas untuk Datuk Seri Anwar diberi peluang meneruskan kepimpinannya.

“Kalau kita lihat prestasi, tak ada orang yang boleh menidakkan kemampuan Perdana Menteri. Kita tahu daripada segi pelaburan, ekonomi dan mata wang, kita dapat lihat bahawa ini diakui, diiktiraf semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti STEM Adventure 2.0 2026 di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Tun Razak hari ini.

Menurut Datuk Azman, kerajaan akan terus berusaha memastikan pencapaian ekonomi diterjemahkan kepada manfaat yang lebih dirasai rakyat.

Katanya, beberapa pengumuman kerajaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Belanjawan 2027 akan datang dijangka memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

“Kita sedang berusaha melihat mana lagi yang kurang dan apa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan dan meyakinkan rakyat bahawa kemampuan serta prestasi ini penting,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengenai mandat kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum akan datang tetap terletak di tangan rakyat.

“Insya-Allah, kita yakin dan percaya pada Pilihan Raya Umum yang akan datang, rakyat bijak membuat keputusan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.