Flores terus dilanda gempa, gegaran dirasai di beberapa kawasan

Sebuah bangunan yang rosak susulan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di Ruteng, Manggarai, Nusa Tenggara Timur pada 15 Ogos lalu/ Foto AFP

JAKARTA, 19 Ogos – Satu lagi gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda luar pesisir Pulau Flores, Indonesia pada Rabu, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Gegaran dirasai di Ende dan daerah berdekatan Nagekeo menurut data BMKG.
  • BMKG memaklumkan kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, namun menasihatkan penduduk berwaspada terhadap gempa susulan.
  • Flores terus alami aktiviti seismik selepas gempa 7.7 magnitud, menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan meluas.
  • BMKG catat 2,119 gempa susulan magnitud 1.3 hingga 6.2, 24 gegaran melebihi 5.0; korban 70, 11,925 rumah rosak.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 10.13 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa terletak di Laut Flores, kira-kira 54 kilometer di barat laut Ende.

Menurut data di laman sesawang BMKG, gegaran dirasai di Ende dan daerah berdekatan Nagekeo.

BMKG memaklumkan kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, namun menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan.

Flores terus mengalami aktiviti seismik selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda pada Sabtu lalu, menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan meluas di Nusa Tenggara Timur.

Setakat 5 pagi Selasa, BMKG merekodkan 2,119 gempa susulan dengan magnitud antara 1.3 hingga 6.2, termasuk 24 gegaran melebihi magnitud 5.0.

Angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 itu meningkat kepada 70 orang setakat Selasa, manakala 11,925 rumah dilaporkan rosak. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.