Dakwaan kononnya kewarganegaraan diberi secara besar-besaran tidak benar

Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Dakwaan kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kewarganegaraan secara besar-besaran kepada warga asing serta 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjelasan berulang telah dibuat berdasarkan fakta dan data rasmi.
  • Mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan boleh mengelirukan dan meniup sentimen perkauman serta kebencian.
  • Penyebaran fitnah merosakkan nama, menghakis kepercayaan terhadap institusi, mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan keselamatan negara.
  • Jangan memperalat isu sensitif untuk kepentingan politik; semak maklumat daripada sumber rasmi sebelum berkongsi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua dakwaan itu telah dinafikan dan dijelaskan berulang kali sebelum ini berdasarkan fakta dan data rasmi.

Menurut beliau, tindakan mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan boleh mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian.

“Penyebaran fitnah seperti ini bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi.

“Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Seri Saifuddin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memperalat isu sensitif demi kepentingan politik atau meraih perhatian di media sosial.

Orang ramai diminta menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

“Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.