Undang-undang baharu ganti AUKU tidak libat mahasiswa

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ RTM

PUTRAJAYA, 19 Ogos- Perundangan baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti, tanpa melibatkan perkara berkaitan pelajar dan mahasiswa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri mengenai pengumuman berkaitan hasrat kerajaan memansuhkan AUKU.
  • Sekiranya digubal, undang-undang baharu memberi tumpuan kepada penyelarasan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi, bukan hal mahasiswa.
  • Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberi keutamaan kepada aspek pentadbiran dalam merangka perundangan baharu itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini, susulan pengumuman berhubung hasrat kerajaan memansuhkan AUKU pada hujung minggu lalu.

Beliau berkata sekiranya undang-undang baharu perlu diwujudkan, perundangan berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyelarasan aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa sekiranya perlu diwujudkan atau digubal undang-undang baharu bagi menyelaraskan aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti, perkara yang melibatkan pelajar dan mahasiswa tidak harus terkandung dalam undang-undang tersebut.

“Ini kerana undang-undang sedia ada, termasuk yang melibatkan polis dan sebagainya, tetap terpakai,” katanya pada Sidang Media Mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Datuk Seri Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi keutamaan kepada aspek pentadbiran institusi pendidikan tinggi dalam merangka perundangan baharu itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.