Bendi, lendir dan nilai makanan kita

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Lendir bendi ialah musilaj polisakarida; bukan tanda rosak; beri tekstur pekat bila bercampur air.
  • Bendi kaya serat, folat, vitamin C dan K, magnesium serta kalium; menyokong pencernaan dan rasa kenyang dalam diet seimbang.
  • Mengandungi fitokimia dan aktiviti antioksidan, tetapi bukti makmal tidak sama dengan ubat; jangan anggap bendi penyembuh segala penyakit.
  • Elakkan budaya superfood: air rendaman tidak menggantikan ubat atau diet seimbang; nikmati bendi utuh dalam corak pemakanan sihat.

Di meja makan, bendi sering mencetuskan dua reaksi yang berbeza. Ada yang mencarinya dalam semangkuk asam pedas atau kari, manakala ada juga yang segera mengetepikannya kerana tidak tahan dengan teksturnya yang berlendir.

Bagi golongan kedua, lendir itu mungkin kelihatan seperti sesuatu yang kurang menyelerakan. Namun, dari sudut sains makanan, bahagian yang sering dianggap sebagai kekurangan itulah sebenarnya antara ciri paling menarik pada bendi.

Bendi atau nama saintifiknya Abelmoschus esculentus bukanlah makanan asing dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Ia mudah ditemui di pasar basah, pasar raya dan kebun rumah, selain digunakan dalam pelbagai masakan tempatan.

Walaupun biasa disebut sebagai sayur, bahagian bendi yang dimakan sebenarnya ialah buah muda atau lenggai yang dituai sebelum menjadi terlalu keras dan berserat. Kesederhanaannya mungkin menyebabkan kita jarang berhenti untuk memikirkan apa sebenarnya yang terkandung di dalam makanan yang begitu biasa ini.

Lendir bendi dikenali sebagai musilaj, iaitu bahan semula jadi yang mengandungi campuran polisakarida kompleks. Apabila bercampur dengan air, molekul-molekul ini menghasilkan tekstur pekat dan likat yang menjadi identiti bendi.

Sebab itulah bendi yang dipotong dan dimasak lebih lama biasanya menghasilkan lebih banyak lendir. Musilaj bukan tanda bendi rosak atau kotor, sebaliknya sebahagian daripada struktur semula jadi tumbuhan tersebut.

Dari sudut pemakanan, bendi membekalkan serat, folat serta beberapa vitamin dan mineral seperti vitamin C, vitamin K, magnesium dan kalium. Serat penting untuk membantu fungsi sistem penghadaman dan menyokong pergerakan kandungan usus secara normal.

Dalam konteks diet seimbang, pengambilan makanan berserat juga membantu kita berasa kenyang lebih lama serta menyokong kesihatan metabolik. Namun, seperti makanan lain, manfaat bendi perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keseluruhan corak pemakanan, bukannya secara terasing.

Bendi turut mengandungi pelbagai sebatian tumbuhan yang menarik perhatian penyelidik. Kajian terhadap bendi yang ditanam di Malaysia menunjukkan kehadiran beberapa kumpulan fitokimia seperti flavonoid, tannin, fenol dan saponin, selain menunjukkan aktiviti antioksidan dalam ujian makmal.

Penemuan seperti ini membantu menjelaskan mengapa bendi sering dikaji dari sudut potensi kesihatan. Bagaimanapun, dapatan makmal tidak seharusnya diterjemahkan secara berlebihan sehingga menjadikan bendi seolah-olah ubat untuk semua penyakit.

Antioksidan sering disebut dalam perbincangan tentang makanan sihat, tetapi istilah ini kadangkala digunakan terlalu longgar. Secara mudah, tubuh manusia sentiasa menghasilkan molekul reaktif melalui proses metabolisme normal, manakala sistem pertahanan tubuh membantu mengekalkan keseimbangan.

Komponen antioksidan daripada makanan boleh menyokong proses tersebut, tetapi manfaatnya datang daripada pola pemakanan yang pelbagai. Bendi boleh menjadi salah satu sumber, bukannya satu-satunya jawapan.

Di sinilah kita perlu berhati-hati dengan budaya “superfood”. Sesuatu makanan yang mempunyai kandungan nutrien atau sebatian bioaktif tidak semestinya perlu diangkat sebagai makanan ajaib.

Hari ini, sesuatu makanan boleh menjadi biasa di dapur, tetapi esok berubah menjadi trend apabila muncul di media sosial dengan dakwaan yang jauh lebih besar daripada bukti saintifik yang ada. Fenomena ini turut berlaku kepada bendi, khususnya apabila air rendamannya dipromosikan sebagai minuman untuk mengawal gula dalam darah, menurunkan berat badan atau melakukan “detoks”.

Hakikatnya, terdapat penyelidikan yang meneroka potensi komponen bendi terhadap metabolisme glukosa dan lipid. Namun, ini tidak bermaksud segelas air rendaman bendi boleh menggantikan ubat diabetes, nasihat doktor atau perubahan gaya hidup yang telah terbukti bermanfaat.

Malah, jika hanya air rendaman diminum sedangkan buah bendi dibuang, sebahagian serat dan nutrien yang terdapat dalam buah itu sendiri mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Pendekatan paling mudah masih sama, iaitu menikmati bendi sebagai makanan dalam diet yang seimbang.

Sepinggan nasi dalam kuantiti yang banyak tidak tiba-tiba menjadi hidangan bebas gula hanya kerana dimakan bersama dua batang bendi. Prinsip ini penting kerana kesihatan tidak bergantung kepada satu bahan makanan yang dianggap istimewa, tetapi kepada corak pemakanan, aktiviti fizikal, tidur, pengurusan tekanan dan penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Dalam soal pemakanan, jalan pintas biasanya jauh lebih menarik untuk dijual berbanding mesej sederhana tentang keseimbangan. Namun, mesej sederhana itulah yang sering lebih bertanggungjawab.

Dalam suasana kita menyambut bulan kemerdekaan, mungkin ada baiknya kita melihat semula hubungan dengan makanan yang dekat dengan kehidupan sendiri. Kita tidak perlu mencari terlalu jauh, terlalu mahal atau terlalu eksotik sebelum menghargai nilai sesuatu makanan.

Makanan tempatan seperti bendi mungkin tidak memiliki nama glamor seperti sesetengah “superfood” antarabangsa, tetapi ia tetap mempunyai nilai pemakanan dan tempat tersendiri dalam budaya makan masyarakat kita.

Menghargai makanan tempatan juga tidak bermaksud kita perlu membesar-besarkan khasiatnya. Sikap yang lebih matang ialah menghargai apa yang ada sambil terus bersikap kritikal terhadap dakwaan kesihatan yang tidak berasas.

Kita boleh menikmati bendi kerana rasanya, seratnya, kandungan nutrisinya dan tempatnya dalam masakan tempatan tanpa perlu menjadikannya penawar untuk segala-galanya. Dalam hal ini, literasi kesihatan sama penting dengan pengetahuan tentang nutrisi.

Mungkin kemerdekaan dalam memilih makanan juga bermula apabila kita tidak lagi mudah terpesona dengan sesuatu hanya kerana ia viral, mahal atau datang dari luar negara.

Kita belajar menghargai makanan yang dekat, tetapi pada masa yang sama menilainya berdasarkan bukti dan bukan mitos.

Bendi tidak perlu menjadi makanan ajaib untuk menjadi makanan yang baik. Kadangkala, nilai yang paling bermakna memang sudah lama berada di pasar basah, di dapur dan di atas meja makan kita..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Noor Azuin Suliman
Pensyarah Perubatan
Jabatan Anatomi dan Fisiologi
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.