
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Seramai 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng RT6’ sejak 2020.
- Didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, hukuman penjara minima lima tahun hingga maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
- Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada semua tertuduh; sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 24 Jun.
- JSJN menumpaskan sindiket di bawah SOSMA; sindiket dipercayai aktif pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di Lembah Klang.
Tertuduh, A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng RT6’ di daerah Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.
Barisan pembelaan pula diwakili peguam Datuk Rajpal Singh, Eu Kah Mun, M. Mathaven, Grace Francis, Muhammad Izzhar Idris, S. Kirthen, S. Premila dan Kelvin Francis.
Sementara itu Nadarajah dan Raman tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT menerusi tindakan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA).
Sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.