Pelatih silat didakwa hina institusi Yang di-Pertuan Agong

Raden Mohd Azrul Amirulla (kanan) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Seorang pelatih silat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerbitkan hantaran berunsur hasutan dan menghina institusi Yang di-Pertuan Agong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raden Mohd Azrul Amirulla, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
  • Didakwa menerbitkan hantaran berunsur hasutan dan menghina institusi Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook, 23 Disember.
  • Dituduh mengikut perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948; hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
  • Mahkamah benarkan jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat penyerahan pasport; sebutan semula 13 Julai.

Tertuduh, Raden Mohd Azrul Amirulla, 36 tahun, bagaimananapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu menerusi akaun Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini, pada pukul 2.30 petang, 23 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff menawarkan jaminan
RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Farhanna Roslan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh bekerja sebagai perawat perubatan tradisional serta pelatih silat yang berpendapatan sekitar RM4,000 hingga RM6,000, selain perlu menyara ibu dan enam anak.

Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tersebut perlu dipenuhi.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.