fb fb fb fb fb

Ugut isteri, suami ditahan

Foto Hiasan

GERIK, 15 April - Seorang lelaki ditahan kerana mengugut dan mencederakan isterinya di kediaman mereka di Kampung Alai, Gerik pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik Superitendan Zulkifli Mahmood berkata penahanan ke atas suspek berusia 42 tahun itu dibuat pukul 8.30 malam tadi.

Tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat mangsa selepas melarikan diri daripada suspek.

"Siasatan mendapati pada 13 April lalu, kira-kira pukul 10.30 malam ketika mangsa sedang tidur, mangsa didatangi oleh suaminya yang bertindak mengikat kedua-dua tangannya menggunakan tali sambil memegang sebilah pisau.

"Suspek telah menuduh mangsa berlaku curang dan memaksa mangsa mengaku terhadap pertuduhan tersebut," kata Zulkifli.

Suspek turut merentap rantai emas dan gelang tangan hingga terputus selain mengoyakkan baju dan menitiskan cecair lilin pada badan mangsa.

Mangsa kemudian berpura-pura ingin ke tandas dan semasa di tandas dan mangsa terjumpa serangkai kunci kereta pada bahagian dapur, kemudian terus mengambil kunci tersebut dan melarikan diri ke balai polis untuk membuat aduan. 

Semasa penahanan, pihak polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian tersebut.

Kes disiasat bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

Mangsa berusia 35 tahun itu dihantar ke Hospital Gerik untuk pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan.

TETITIA YUSOFF