fb fb fb fb fb

Bekas penolong setiausaha didakwa terima rasuah RM2,300

Mohd Hafiz Ahmad, 41, (belakang, tengah) di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Seorang bekas Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah sini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat dalam tempoh antara Februari hingga Mei 2020.

Tertuduh, Mohd Hafiz Ahmad, 41, didakwa menerima barangan bernilai tiada balasan menerusi akaun bank miliknya, namun mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Mohd Hafiz mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh, sini pada 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 bersama seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen.

SITI AISHAH BINTI MD ISA