KUALA LUMPUR, 5 Mac - Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridzokumura, menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya timbul spekulasi keterlaluan mengenai kematian isterinya, Akiko Okumura.
Sejak kematian isterinya, Abd Ridzuan yang masih bersedih dan sugul akhirnya tampil menjawab segala andaian netizen berhubung kematian isterinya.
"Jangan buat andaian bukan-bukan, minta sangat-sangat, jangan buat apa-apa andaian. Bila tulis yang bukan-bukan dengan keterlaluan, abang tidak teragak-agak ambil tindakan undang-undang.
"Bagi masa dan ruang kepada saya dan anak abang Sky," katanya ketika sesi penstriman langsung di TikTok pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa Akiko berkemungkinan tergelincir dari tingkap ketika mengemas, memandangkan aktiviti itu merupakan rutin isterinya setiap kali menjelang bulan Ramadan.
"Saya rasa Akiko tergelincir, tak mungkin dia nak terjun. Akiko sangat sayangkan diri dia. Saya tak tahu, sebab saya tak ada dalam bilik, apa yang saya tahu pagi (Jumaat) ternampak dia dah terjatuh.
"Perjalanan arwah sangat indah, dia pergi pada hari Jumaat dan menjelang bulan Ramadan. Bagi saya, dia dah masuk terus ke syurga dan dialah bidadari syurga. Akiko pun tak pernah buat jahat pada orang lain," katanya dalam keadaan sebak.
Sesekali Abd Ridzuan tidak dapat meneruskan tutur bicaranya dan tersekat-sekat kerana terlalu sedih mengenang pemergian isterinya.
Ridzokumura turut memohon doa orang ramai agar mereka anak-beranak diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
Beliau juga memaklumkan bahawa anaknya masih trauma dengan kejadian tersebut dan belum bersedia untuk pulang ke rumah kerana di setiap sudut mengingatkan kenangan bersama arwah isterinya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan bahawa seorang wanita warga Jepun dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan bahawa mangsa ialah Akiko Okumura dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Abd Ridzuan dan arwah Akiko mendirikan rumah tangga sejak 2009 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13.