KUALA LUMPUR, 16 Disember- Dua legenda muzik tanah air, Datuk Hattan dan Datuk M. Nasir bakal tampil dalam satu pentas "Konsert Aku & Sifu" pada 3 Februari, tahun depan.
Konsert gabungan bertemakan guru dan anak murid yang berjaya dalam industri muzik itu, akan diadakan di Sabah International Convention Center (SICC).
"Beliau adalah idola saya. Saya cukup meminati dia, Datuk M. Nasir. Saya belajar menyanyi dan menyertai industri sejak saya mula berjalan kaki, naik bas pergi belajar ke rumah beliau.
Jadi, bila saya sudah sukses, saya impikan untuk sepentas dengan beliau, ia umpama kemuncak kerjaya saya lah," kata Hattan kepada pemberita.
Bagi M. Nasir pula, meski pernah bersama dalam membuat persembahan, ia adalah satu konsert gabungan pertama buat dirinya bersama Hattan.
"Tapi ini adalah satu cabaran. Cabarannya adalah orang, tanggapan orang. Saya dengan Hattan mempunyai pengalaman yang agak berbeza sikit. Sekarang, saya bermain muzik yang agak berbeza, berbeza dengan muzik dulu yang saya main.
Kita cuba masukkan dalam satu konsep, yang saya pernah perjuangkan dulu juga. Jadi, saya harap ia akan mendatangkan kebaikan," kata M. Nasir kepada pemberita.
Sementara itu, bagi penganjur, Mubarak Akhtar, konsert itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada peminat di Sabah yang jarang mendapat peluang menyaksikan persembahan dua legenda itu secara langsung.
"Seperti yang Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan kata, kami suka Sabah. Kami tahu peminat di Sabah dan insya-Allah beberapa banyak konsert akan kita anjurkan lagi di sini dan Sabah tidak pernah mengecewakan kami," kata Mubarak.