
PUTRAJAYA, 1 Mei- Kementerian Luar mengecam sekeras-kerasnya provokasi dan pemintasan haram oleh tentera Israel terhadap kapal Flotila Sumud Global (GSF) di perairan antarabangsa pada 29 April.
- Kementerian menuntut penghentian segera gangguan terhadap misi kemanusiaan serta jaminan penghantaran bantuan dan keselamatan aktivis.
- GSF adalah inisiatif kemanusiaan untuk menghantar bekalan perubatan dan makanan membantu menstabilkan sistem kesihatan yang musnah di Gaza.
- Wisma Putra memantau keselamatan rakyat Malaysia di kapal dan menyeru Majlis Keselamatan PBB serta komuniti antarabangsa bertindak tegas.
Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis menuntut pihak tentera menghentikan segera segala bentuk gangguan terhadap misi kemanusiaan itu bagi memastikan penghantaran bantuan yang selamat tanpa halangan, selain menjamin keselamatan semua aktivis antarabangsa yang berada di atas kapal.
“Malaysia menegaskan bahawa GSF adalah inisiatif kemanusiaan aman yang bertujuan menghantar bekalan perubatan penting dan makanan bagi membantu menstabilkan sistem penjagaan kesihatan yang musnah, serta memberikan bantuan kepada penduduk yang menghadapi genosid dan kebuluran di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra turut memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi situasi dan aktif mengumpul maklumat mengenai keadaan serta keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di atas kapal GSF.
Ia turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
Malaysia juga mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Terdahulu, dilaporkan bahawa 10 aktivis kemanusiaan Malaysia adalah antara 186 aktivis yang menaiki 22 buah kapal di bawah misi GSF 2.0, yang telah dipintas dan dinaiki oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran ke Gaza.