
PUTRAJAYA, 30 April – Wisma Putra sedang memantau rapi situasi serta aktif mengumpul maklumat mengenai keadaan dan keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada atas kapal Flotila Sumud Global (GSF), susulan tindakan tentera Israel memintas kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada 29 April.
- Malaysia mengecam tindakan pemintasan tentera Israel sebagai provokasi menyalahi undang-undang dan menuntut hentikan gangguan terhadap misi kemanusiaan.
- Flotila Sumud Global merupakan inisiatif kemanusiaan aman menghantar bekalan perubatan dan makanan kepada penduduk Gaza menghadapi genosid serta kebuluran.
- Tindakan menyekat dan memintas kapal kemanusiaan jelas melanggar undang-undang maritim dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
- Malaysia menyeru Majlis Keselamatan PBB dan komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas serta menuntut pertanggungjawaban rejim Zionis.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Luar mengecam sekeras-kerasnya provokasi dan pemintasan menyalahi undang-undang itu serta menuntut pihak tentera menghentikan segera segala bentuk gangguan terhadap misi kemanusiaan berkenaan bagi memastikan penghantaran bantuan yang selamat tanpa halangan, selain menjamin keselamatan semua aktivis antarabangsa yang terlibat.
“Malaysia menegaskan bahawa GSF adalah inisiatif kemanusiaan aman yang bertujuan menghantar bekalan perubatan penting dan makanan bagi membantu menstabilkan sistem penjagaan kesihatan yang musnah, serta memberikan bantuan kepada penduduk yang menghadapi genosid dan kebuluran di Gaza.
“Tindakan tentera menyekat dan memintas beberapa kapal kemanusiaan merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang maritim antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan, serta mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
10 aktivis kemanusiaan Malaysia disahkan antara 186 aktivis yang menaiki 22 kapal bawah misi GSF 2.0 yang telah dipintas dan dinaiki oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran ke Gaza.