GSF 2.0 : 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia diculik, dibawa ke Israel

Kira-kira 30 kapal tidak ditahan dan meneruskan pelayaran

KUALA LUMPUR, 30 April – 175 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia, telah diculik dan dibawa ke Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Thiago Avila dan Saif Abukeshek, anggota Steering Committee GSF, dipintas dalam tindakan ugutan yang bertujuan melumpuhkan misi.
  • Kapal Tam Tam tidak dipintas tetapi dirosakkan oleh rejim, aktivis di atasnya dilaporkan dalam keadaan selamat.
  • SNCC sahkan 21 kapal dipintas kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece; kira-kira 30 kapal lain meneruskan pelayaran.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Thiago Avila dan Saif Abukeshek antara Steering Committee Global Sumud Flotilla yang turut dipintas dalam tindakan bersifat ugutan serta bertujuan melumpuhkan keseluruhan misi.

“Setakat pukul 7 malam waktu Malaysia, status kapal Tam Tam adalah tidak dipintas, tetapi telah dirosakkan oleh pihak rejim, namun aktivis dalam keadaan selamat.

“Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang disahkan dipintas sebanyak 21 kapal kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece.

“SNCC turut mengesahkan terdapat kira-kira 30 kapal tidak ditahan dan meneruskan pelayaran serta selamat menghampiri perairan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam perkembangan sama, pempengaruh dan penulis bidang geopolitik, Ahmad Faezal Mohd. Shariff telah menarik diri selepas demam panas di Pelabuhan Sicily, Itali dan telah selamat tiba di Malaysia.