
PUTRAJAYA, 30 April-Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan tegas menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar tidak melibatkan diri dengan sebarang acara yang melalaikan dan berpotensi mencemarkan akhlak masyarakat.
- Islam menetapkan sempadan hiburan; hentikan program berunsur maksiat demi memelihara kesucian agama dan kesejahteraan ummah.
- Kementerian akan perkukuh program kebaikan seperti bacaan Yaasin, solat hajat, kuliah, ceramah, forum, kempen media sosial dan majlis ilmu.
- Perbanyak doa dan solat hajat memohon keselamatan aktivis misi Global Sumud Flotilla serta jadikan iman dan istiqamah benteng jiwa.
Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata, tindakan tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya aktiviti yang boleh menggugat nilai murni dalam kalangan komuniti.
Beliau menegaskan bahawa Islam telah menetapkan batas yang jelas dalam urusan hiburan.
“Sebarang program berunsur maksiat wajib dihentikan demi memelihara kesucian agama serta kesejahteraan ummah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dr. Zulkifli turut memaklumkan bahawa kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus istiqamah memperkukuh program-program yang menyeru kepada kebaikan.
Antara pengisian yang dipergiatkan termasuklah penganjuran bacaan Yaasin, solat hajat, kuliah, ceramah, forum, serta kempen kesedaran di media sosial dan majlis ilmu.
Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan rejim Zionis Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam untuk memperbanyakkan doa dan solat hajat bagi memohon keselamatan serta perlindungan buat semua aktivis yang terlibat dalam misi berkenaan.
“Jadikan iman dan istiqamah sebagai benteng jiwa. Jaga hati dan kekal teguh di jalan Allah Subhanahu wa-Ta’ala,” katanya lagi.