75 anak warga PERKEP bakal terima biasiswa penuh

Pemeteraian MoU antara PERKEP dengan KUAS/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 April – Seramai 75 pelajar anak warga Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) bakal menerima biasiswa penuh menerusi program pendidikan yang ditawarkan di Kolej Universiti Antarabangsa Spektrum (KUAS).

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU antara PERKEP dan KUAS memperluas akses kepada pendidikan tinggi bagi komuniti keluarga anggota PDRM.
  • PERKEP tekankan bantuan kepada pelajar memerlukan serta pembangunan keluarga, latihan kemahiran dan keusahawanan.
  • KUAS menawarkan mod pembelajaran fleksibel termasuk konvensional, terbuka, pembelajaran jarak jauh dan microcredential.
  • Kerjasama diharap memerkasa komuniti, menyumbang kepada pembangunan sosial inklusif dan kebaikan jangka panjang.

Manfaat itu bakal direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKEP dengan KUAS, sebagai komitmen bersama bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi.

Kerjasama ini juga sejajar dengan usaha menyediakan peluang kepada pelajar lepasan sekolah untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

Pengerusi PERKEP Malaysia, Datuk Dr Munirah Che Rose menekankan kepentingan membantu pelajar yang memerlukan.

“Kita kena memastikan anak-anak ini mendapat laluan kerjaya yang meyakinkan bagi membina masa depan yang cerah dalam pendidikan mereka,” katanya.

Menurut beliau, PERKEP akan terus komited membantu komuniti melalui pelbagai medium terutamanya pendidikan, pembangunan keluarga, latihan kemahiran dan keusahawanan serta khidmat masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah KUAS, Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin berharap kerjasama ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan keluarga anggota PDRM.

Sebagai kolej universiti moden, KUAS menawarkan pelbagai mod pembelajaran termasuk pengajian konvensional, pembelajaran terbuka dan jarak jauh, ‘microcredential’ serta pilihan sepenuh dan separuh masa.

Pendekatan tersebut memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian, tanpa menjejaskan komitmen kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Kedua-dua pihak berharap kerjasama ini dapat memperluas akses pendidikan, memperkasa komuniti serta menyumbang kepada pembangunan sosial yang inklusif demi generasi akan datang.

Pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.