Kerajaan kecam tindakan Israel pintas Misi Kemanusiaan GSF 2.0

Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 April – Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera rejim Israel yang memintas dan menceroboh 22 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau menegaskan tindakan rejim Zionis merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
  • Kapal 'TamTam' dihubungi semula selepas terputus lebih 10 jam; alat komunikasi dan enjin disabotaj, kapal lain masih belum dihubungi.
  • Misi bantuan turut membabitkan 10 rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan pencabulan tersebut amat dikesali memandangkan misi bantuan kemanusiaan itu turut melibatkan seramai 10 rakyat Malaysia.

Beliau berkata, maklumat terperinci mengenai insiden itu diterima melalui taklimat oleh Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, hari ini.

“Berdasarkan maklumat terkini setakat 7.00 malam tadi, SNCC memaklumkan satu daripada 22 kapal tersebut iaitu kapal dengan nama ‘TamTam’ telah berjaya dihubungi semula.

“Kapal berkenaan dilaporkan terputus hubungan selama lebih 10 jam selepas alat komunikasi dan enjin kapal tersebut disabotaj.

“Bagaimanapun, 21 buah kapal yang lain masih belum dapat dihubungi,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Fahmi menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi akan terus memantau pelaporan media secara rapi bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan sahih.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi, khususnya melalui SNCC, agensi kerajaan serta media arus perdana.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran berita tidak benar berhubung keselamatan peserta misi berkenaan,” tambahnya.