
PUTRAJAYA, 30 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan dua inisiatif strategik iaitu Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam (MyOHS-PS) dan Program Kesihatan Tempat Kerja Bersepadu (IWHP), bagi memperkukuh perlindungan kesihatan penjawat awam di negara ini.
- MyOHS-PS fokus pengawasan perubatan, pengesanan awal penyakit dan intervensi bersasar menerusi pengurusan risiko sistematik.
- Pelaksanaan berfasa melalui projek rintis di agensi berisiko tinggi sebelum diperluaskan selaras OSHMP30.
- IWHP gabungkan kepakaran awam dan swasta, promosikan gaya hidup aktif serta sokongan kesihatan mental; kempen 'Paru-Paru Sihat, Pekerja Selamat'.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MyOHS-PS merupakan program transformasi yang memberi tumpuan kepada pengawasan perubatan, pengesanan awal penyakit serta intervensi bersasar menerusi pendekatan sistematik berasaskan pengurusan risiko.
”MyOHS-PS akan dilaksanakan secara berfasa melalui projek rintis melibatkan agensi berisiko tinggi merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lembah Klang, sebelum diperluaskan ke seluruh sektor awam, selaras Pelan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026-2030 (OSHMP30)”, katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini, hari ini.
Jelas beliau, IWHP, sebuah program intervensi holistik yang menggabungkan kepakaran sektor awam dan swasta bagi mempromosikan gaya hidup aktif serta sokongan kesihatan mental di tempat kerja.
Sebagai inisiatif utama di bawah IWHP, KKM mengangkat kempen ‘Paru-Paru Sihat, Pekerja Selamat’ dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Langkah proaktif itu diambil susulan peningkatan sebanyak 13.8 peratus kes kecederaan di tempat kerja, iaitu daripada 34,216 pada tahun 2022 kepada 38,950 kes pada tahun 2023.
KKM turut menyeru kerjasama semua pihak bagi memastikan keberkesanan program berkenaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk melahirkan tenaga kerja yang sihat dan selamat.