KKM jamin peruntukan kesihatan teras tidak terjejas

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 April – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa peruntukan belanjawan yang melibatkan perkhidmatan teras kesihatan tidak akan terjejas atau dikurangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu dianggap cadangan Kementerian Kewangan yang dibentangkan semasa mesyuarat kabinet.
  • Cadangan bertujuan menyelaras semula perbelanjaan mengurus dan masih belum dimuktamadkan.
  • KKM menegaskan cadangan itu adalah pelarasan, bukan pemotongan muktamad.
  • KKM telah mengisi 4,500 kekosongan jawatan termasuk doktor kontrak untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu yang berlegar hanyalah cadangan oleh Kementerian Kewangan yang diketengahkan semasa mesyuarat kabinet, bertujuan menyelaras semula perbelanjaan mengurus namun perkara itu belum dimuktamadkan lagi.

“Apa yang disebutkan sebenarnya adalah cadangan kepada pelarasan perbelanjaan mengurus dan bukan pemotongan muktamad yang diperincikan.

“Apapun, saya beri jaminan bahawa perkhidmatan kesihatan asas seperti rawatan pesakit, kecemasan dan bekalan ubat-ubatan tidak ada pengurangan sebagaimana dirancang dalam belanjawan 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, KKM baru-baru ini telah mengisi kekosongan melibatkan 4,500 jawatan termasuk doktor kontrak yang mencerminkan komitmen kementerian berkenaan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.