
PETALING JAYA, 10 November – Pembangunan modal insan tempatan berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan seiring dengan kepesatan pelaburan teknologi dan digital yang menjadi penggerak serta peneraju kemajuan negara.
- Automasi dan pengelektrikan memerlukan jurutera, juruteknik dan graduan TVET dengan kemahiran praktikal tinggi untuk memenuhi permintaan industri.
- MOSTI merapatkan jurang akademik dan keperluan industri melalui Foresight STI, rangka kemahiran kebangsaan, NTIS, KL20 dan SUPER 2.0.
- Kerjasama rapat kerajaan dan industri perlu diperkukuh bagi melahirkan bakat tempatan yang boleh mencipta, mengendalikan dan memimpin teknologi termaju.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kemajuan teknologi berasaskan automasi canggih dan pengelektrikan kompleks menuntut penyediaan jurutera, juruteknik, serta bakat muda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilengkapi kemahiran praktikal beraras tinggi.
“Bagaimanapun, di sebalik pelaburan ini terletak satu hakikat asas, mesin tidak membina negara, manusialah yang membinanya.
“Apabila industri merangkul digitalisasi, automasi canggih dan pengelektrikan kompleks, permintaan terhadap bakat berkemahiran terus meningkat.
“Tanpa melengkapi jurutera, juruteknik dan bakat muda TVET kita dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan industri, kita berisiko meninggalkan tenaga kerja kita di belakang ketika teknologi berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Latihan Regional Schneider Electric di sini hari ini.
Malaysia kini berada di landasan kukuh sebagai tulang belakang digital rantau Asia-Pasifik apabila merekodkan lebih RM200 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, merangkumi RM95 bilion dalam infrastruktur pusat data dan perkhidmatan awan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited merapatkan jurang antara pendidikan akademik dan kesediaan industri menerusi inisiatif Foresight Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta kerangka kerja kemahiran kebangsaan.
Usaha itu turut diperkasakan menerusi Platform Kotak Pasir Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS), Pelan Tindakan KL20, dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER 2.0) bagi membolehkan inovator tempatan menguji teknologi baharu sekali gus menggalakkan komersialisasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih banyak kerjasama rapat antara kerajaan dan pihak industri bagi melahirkan bakat tempatan yang mampu mencipta, mengendali, dan memimpin teknologi termaju di peringkat serantau mahupun global.